Archive for July, 2009

Amalan terbalik….Betulkan segera!!!!

 

 

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan
harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau
bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.. Mungkin
kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup
orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang
terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati
selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya)
adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah
telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk
meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa
kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang
membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir
kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau
harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut
Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam
berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia
menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau
menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri
kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan
untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan
segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih
kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang
terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak
makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan
yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan
rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti
yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan
tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah
orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi
dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah.
Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum
bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran
berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka
dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah
amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka
dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak
boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen
baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup
dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran
nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.
Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak
dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti
pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan
kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap
tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta
tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan
main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang
dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang
lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang
bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk menghantarkan sms atau emel dalam bentuk
gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar
dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward
emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??…..
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima
hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita
menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut
selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan
peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: “Sampaikanlah dariku walaupun satu
ayat.” (Riwayat Bukhari)

No comment »

petikan drpd blog Ust Amin - Universiti Kehidupan 94

“Ustaz, boleh tak kami nak jumpa. Ada hal penting ni” kedengaran suara seorang kakak dari telifon saya.

“InsyaAllah, nanti kak jumpa saya selepas saya habis mengajar hadith di Yayasan Restu ye,” jawab saya.

Hari ini selepas kelas hadith bersanad di Yayasan Restu, telifon saya sekali lagi berbunyi:-

“ustaz, dah ada kat ofis ke?, kami dah nak sampai ni” katanya.

“Oh, ingatkan, nak jumpa dekat Yayasan”, bisik hati saya.

Ye ye.. sekarang juga saya bertolak kak. Dalam lima minit lagi, insyaAllah, saya sampai” kata saya pada kakak yang tidak saya kenali ini.

Sesampainya di ofis, sudah ada seseorang yang menunggu saya. Saya mempersilakan orang ini masuk. Dia membincangkan mengenai anak yatim al-Ijabah yang diusahakan.

Lima minit kemudian, dari cermin ofis, saya melihat, masuk dua orang perempuan. Pekerja saya mempersilakannya duduk sebentar.

Saya cepat-cepat menghabiskan perbincangan dengan orang pertama tadi.

Selepas orang ini meminta diri, saya mempersilakan kedua-dua orang kakak ini masuk ke dalam ofis.

“Ye kak, apa yang boleh saya bantu? Kata saya.

“Ustaz, saya dengar, ustaz sedang usahakan untuk mengeluarkan orang-orang Islam tu dari gereja ye.” Salah seorang dari mereka memulakan perbualan.

“Bukan saya kak, tapi sahabat-sahabat semua,” kata saya.

“Abis, ustaz nak letakkan dia orang ke mana? Tanyanya lagi.

“Doakan kak, kita sedang usahakan alternative semampu yang dapat. Kita pun tak mahu keluarkan mereka, kemudian mereka terabai. Setakat ini, yang masih mampu uruskan diri telah mula dikeluarkan. Tetapi yang terlantar, kita perlukan keperluan-keperluan yang banyak juga kosnya. ”

“Terima kasihlah ustaz,” katanya.

“Kenapa kak?” kata saya kerana tidak faham sebab ucapan terima kasihnya.

“Sebenarnya, antara penghuni di situ adalah adik kami.” Kata salah seorang dari kakak ini.

“Beberapa bulan dahulu, dia hilang dari pengetahuan kami, hinggalah akhirnya pihak hospital hubungi saya. Pihak hospital menyuruh saya mengambil adik saya ini dari sana. Rupanya dia telah terlantar tenat.” Kakak ini menjelaskan.

“Saya membawanya pulang ke rumah saya. Saya tidak tahu bagaimana ingin menguruskan dengan baik. Hinggalah ada pihak yang mencadangkan agar saya menghantarnya ke gereja ini” dia meneruskan ceritanya.

“Kami tak ada pilihan ustaz. Di Selangor tidak ada tempat yang dibuat oleh orang Islam. Ketika di gereja ini , mereka menjaga adik saya dengan baik. Mereka suapkan dia makan, jaga ubatnya, mandikan dia, sapu ubat pada badannya, Alhamdulillah banyak peningkatan dia ustaz. Dari diusung, sekarang dia sudah boleh berjalan seperti biasa”. Katanya lagi.

Saya terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa. Tiba-tiba, saya diajukan soalan yang saya tak tahu cara terbaik untuk menjawabnya. Ia ibarat gunung yang cuba dihempapkan ke atas kepala saya

“Ustaz, berdosakah kami menghantarnya ke gereja ini ustaz? Kami tidak ada pilihan. berdosakah kami ustaz?” Soalan itu diulangkan kepada saya.

Saya boleh memberikan jawapan:-

“Kak, haram hukumnya, kena keluarkan, tak boleh macam tu, kena tawakal,.. bla..bla.bla..”

Atau:-

“Kak, sabarlah, biarkan saja dia di sana, Tuhan bersama orang yang sabar.. bla.. bla.. bla..”

Atau

“Itulah, kita orang Islam ni,macam nilah, orang lain boleh buat, kenapa kita tak buat,.. bla.. bla..bla..”

Atau seribu jawapan yang lain. Tapi, mana satukah jawapan terbaik? Saya boleh berikan jawapan beserta dalil-dalil Quran dan Hadith tetapi ia hanya memberitahu saya,

“Emmph, cakap aje pandai, apa yang kau dah buat?”

Akhirnya, dengan suara yang rendah saya memberikan jawapan yang tidak ada kena mengena dengan soalan.

“Kak, doakan ye, kita usahakan yang termampu”

Secara peribadi, saya memang mengakui bahawa, saya terlalu daif dan lemah. Kita boleh sembunyikan kisah ini untuk menyembunyikan kelemahan diri kita. Atau kita kena jujur mengakui bahawa kita memang lemah.

Paling kurang, dengan mengakui kelemahan diri, kita tahu, di mana untuk bermula. Jika tidak rasa, kita mempunyai kelemahan, nanti kita akan mencipta alasan untuk merasionalkan, kenapa kita tidak berbuat sesuatu.

“Tuhan, aku tidak tahu apa jawapannya. Tapi, adakah isu ini sindiran dariMu Tuhan, jika ini sebagai sindiran mengenai rapuhnya Ukhwah Islamiah kami umat Islam, ia satu yang perlu diperbaiki segera, bantulah kami Tuhan” Bisik hati saya.

Sehingga ke akhir pertemuan, saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya senyuman terus cuba diukirkan walaupun terlalu pahit rasanya.

Semoga Allah memberi kekuatan untuk seluruh yang cuba mengusahakan perkara ini. Semoga Allah titiskan juga keikhlasan kepada mereka, dan semoga, cita-cita mengeluarkan sahabat seIslam kita dari gereja ini ditunaikan Allah, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bandar Hilir Melaka
9 Julai 09, jam 1.00 pagi.

Comments (1) »